Monday, March 14, 2005

reallifegoeslikethis

Yang bernama UJIAN


"Ini adalah suatu ujian"

Saban hari, saban waktu. Setiap hari, setiap waktu, saya pasti akan mengingatkan diri saya bahawa ini adalah suatu ujian. Ujian hidup. Ia sukar, ia payah, ia tak pasti dan ia menyakitkan. Namun itulah adat ujian.

Saya bukanlah baik orangnya. Saya kerap berjanji dan memungkiri. Saya banyak berkata dan tidak pula diamalkan. Saya ke sana ke sini dan terjerumus dalam dosa.

Tapi saya sudah mencuba. Saya benar-benar sudah berusaha dan masih berusaha. Saya berusaha untuk cemerlang sebagaimana manusia lain mendefinasikan kecemerlangan itu. Saya cuba gembirakan hati-hati mereka sebagaimana hati-hati mereka mudah gembira dengan kejayaan-kejayaan artifisial itu.

Dan saya tidak lemah. Saya kuat, malahan lebih kuat daripada orang lain yang hanya tahu mengkritik tetapi tidak pernah berani berubah. Saya sabar, lebih sabar daripada mereka yang marah-marah kerana hal yang remeh-temeh. Namun yang pasti, saya ada had. Saya punya batasan sebagai hamba, sebagai manusia.

...........................

Saya tidak menulis ini untuk meraih apa-apa. Tidak keegoan diri sendiri, tidak pujian dan ampuan orang atau apa-apa sahaja yang kosong dan omong-omong belaka.

Saya menulis ini untuk mengingatkan diri sendiri. Bukan orang lain. Bukan siapa-siapa tapi saya. Bahawa usaha saya ada hadnya. Akal dan jasmani saya ada limitasinya. Bahawa saya bukannya saya main-main. Bukannya saya bergurau dengan hidup.

Senyum dan tawa saya ada batasnya. Sabar dan tenang saya saya ada hadnya. Saya juga marah, runsing, geram dan tidak pasti. Saya juga manusia, bukan robot, bukan malaikat dan saya pasti-pastinya bukan tuhan. Bahawa saya tidak punya kuasa.

...............................

Jika kalian adalah helang, kalian mungkin bangga bahawa kalian dikagumi orang. Kalian disanjung kerana keberanian dan hebatnya lagak terbang. Tapi sekadar itulah. Makhluk hanya tahu memuji bilamana ia menyenangkan dan bersedia bila-bila masa mengeji pabila ia tidak memenuhi keperluan.

Mereka tidak tahu apa itu makna hidup. Yang hidup itu adalah siri rentetan ujian-ujian. Hidup itu memang payah, memang susah. Maka bodohlah siapa yang berharap hidup akan senang dan berangan suatu waktu, senang lenang itu akan tiba.

Hidup ini simbiosis hendaknya. Kalian menerima dan wajiblah kalian memberi. Terima dan beri pada kadar yang seadilnya. Bukannya terima banyak-banyak dan berilah ala kadar. Macam Qabil ketamakan kambing. Kerana yang kalian terima itu adalah sebenarnya hak buat kalian. Maka kenapa manusia lain tidak mahu diberi peluang sama merasa sebagaimana kalian?

Pabila hidup suatu kitaran, ia saling cukup-mencukupi. Saling lengkap melengkapi. Jangan dikurang, jangan dilebihkan, kelak nanti aturan ini jadi salah dan sistem menjadi tidak stabil. Alam menjadi kacau, jiwa akan berontak.


Maka di situlah lahirnya ujian. Ujian suatu simbol radikal pembetulan. Ujian adalah turning point hidup. Ujian muncul untuk mengubah terus hidup supaya sistem kembali jadi betul atau jika diabaikan akan jadi makin tidak betul. Ujian adalah sistem koreksi paling cepat, paling efektif dalam membuat perubahan.

Ujian bukannya suatu masalah. Ia suatu soalan. Soalan bukanlah masalah kerna daripada soalanlah kita mendapat jawapan. Jadi soalan itu kunci. Kunci kepada rahsia hidup, rahsia aturan alam.

Hadapi ujian. Jawablah soalan. Kelak nanti akan ada jawapan. Jangan elak ujian, jangan abai soalan, nanti makin sesat perjalanan.


...........................

Tulisan ini akan ditamatkan takat ini dahulu. Monumen Shikamaru yang berfikir perlu diubah. Shikamaru sudah makin dewasa. Dia sudah jadi Jounin. Dia sudah jadi ketua. Dia perlu berani menghadapi dunia pula.

Dan dalam dunia nyata, manusia tidak dapat membaca akalan manusia. Hanya bercakap dan bertindaklah jawapannya.

Kepada yang saya berhutang janji, akan saya tunaikan. Berikan saya sedikit masa, secebis ruang. Saya tidak cukup udara untuk bernafas sekarang.

1 Comments:

At 9:23 AM, Anonymous Anonymous said...

That's a great story. Waiting for more. » »

 

Post a Comment

<< Home